Solat Khauf iaitu solat dalam keadaan yang sangat takut. Solat Khauf adalah kemudahan yang tidak terdapat dan tidak boleh dilaksanakan di dalam solat-solat yang lain. ‘Solat Ketakutan’ ini adalah solat yang dilakukan dalam keadaan suasana peperangan kerana bimbang akan diserang musuh.
Firman Allah سبحانه وتعالى :
وَإِذَا كُنتَ فِيهِمْ فَأَقَمْتَ لَهُمُ الصَّلَاةَ فَلْتَقُمْ طَائِفَةٌ مِّنْهُم مَّعَكَ وَلْيَأْخُذُوا أَسْلِحَتَهُمْ فَإِذَا سَجَدُوا فَلْيَكُونُوا مِن وَرَائِكُمْ وَلْتَأْتِ طَائِفَةٌ أُخْرَىٰ لَمْ يُصَلُّوا فَلْيُصَلُّوا مَعَكَ وَلْيَأْخُذُوا حِذْرَهُمْ وَأَسْلِحَتَهُمْ ۗ وَدَّ الَّذِينَ كَفَرُوا لَوْ تَغْفُلُونَ عَنْ أَسْلِحَتِكُمْ وَأَمْتِعَتِكُمْ فَيَمِيلُونَ عَلَيْكُم مَّيْلَةً وَاحِدَةً ۚ وَلَا جُنَاحَ عَلَيْكُمْ إِن كَانَ بِكُمْ أَذًى مِّن مَّطَرٍ أَوْ كُنتُم مَّرْضَىٰ أَن تَضَعُوا أَسْلِحَتَكُمْ ۖ وَخُذُوا حِذْرَكُمْ ۗ إِنَّ اللَّـهَ أَعَدَّ لِلْكَافِرِينَ عَذَابًا مُّهِينًا ﴿١٠٢
“Dan apabila engkau (wahai Muhammad) berada dalam kalangan mereka (semasa perang), lalu engkau mendirikan solat dengan (menjadi imam) mereka, maka hendaklah sepuak dari mereka berdiri (mengerjakan solat) bersama-samamu, dan hendaklah mereka menyandang senjata masing-masing; kemudian apabila mereka telah sujud, maka hendaklah mereka berundur ke belakang (untuk menjaga serbuan musuh); dan hendaklah datang pula puak yang lain (yang kedua) yang belum solat (kerana menjaga serbuan musuh), maka hendaklah mereka bersolat (berjamaah) bersama-samamu, dan hendakah mereka mengambil langkah berjaga-jaga serta menyandang senjata masing-masing. Orang-orang kafir memang suka kalau kamu cuai lalai akan senjata dan harta benda kamu, supaya dengan jalan itu mereka dapat menyerbu kamu beramai-ramai dengan serentak. Dan tidaklah kamu berdosa meletakkan senjata masing-masing, jika kamu dihalangi sesuatu yang menyusahkan disebabkan hujan atau kamu sakit. Dan hendaklah kamu mengambil langkah berjaga-jaga. Sesungguhnya Allah telah menyediakan bagi orang-orang kafir itu azab seksa yang amat menghina.” (Surah An-Nisa’ 4; Ayat 102)
Ulama–ulama fiqih telah bersepakat tentang adanya ketetapan syarak mengenai solat khauf ini, “Khauf bagi mereka bukan semata-mata takut kepada serangan musuh malah termasuk juga khauf (takut) dari ancaman kebakaran dan juga binatang-binatang buas dan lain-lain lagi daripada ancaman yang boleh menyebabkan kemusnahan dan kehancuran.”
.
Allah سبحانه وتعالى berfirman:
فَإِنْ خِفْتُمْ فَرِجَالًا أَوْ رُكْبَانًا
“Dan jika kamu takuti (sesuatu bahaya) maka solatlah sambil berjalan kaki atau naik kenderaan.” (Surah Al-Baqarah 2: Ayat 239)
Bila Dan Dimana ?
Solat Khauf boleh dilakukan dimana saja, tanpa mengira masa, tempat dan keadaan.
Solat dilakukan mengikut keadaan seseorang pada ketika itu.
Boleh dilakukan sama ada secara berlari, berjalan, meniarap atau berkenderaan.
Rukuk dan sujud dilakukan dengan isyarat.
Boleh melakukan solat tanpa menghadap kiblat.
Daripada Ibnu Umar r.a. katanya: Nabi Muhammad ﷺ bersabda: “Jika keadaan itu terlalu gawat, bolehlah solat secara berdiri, berjalan atau berkenderaan, menghadap kiblat ataupun tidak.” (Hadis Riwayat Al-Bukhari r.a.)
Batal Solat Khauf
Perkara-perkara yang membatalkan Solat Khauf:
1) Terbatal wuduk ketika sedang solat
2) Menjerit dan melaung (sekiranya tidak diperlukan)
3) Melakukan banyak pergerakan yang tiada kaitan dengan peperangan
4) Keluar darah yang banyak tidak menjejaskan solat (di sisi mazhab Maliki tetapi imam Syafie ia membatalkan solat kecuali kerana terpaksa atau darurat) maka ianya dimaafkan.
Cara–cara menunaikan Solat Khauf dapat simpulkan kepada dua keadaan:
a. Sebelum Tercetus Peperangan
b. Ketika Hangat Berperang
A. Sebelum Tercetus Peperangan (Situasi Berjaga-Jaga)
Terdapat dua cara yang telah dilaksanakan oleh Rasulullah ﷺ dalam situasi berjaga-jaga, mengikut keadaan kedudukan arah musuh:
1. Musuh Berada Di Arah Qiblat
Cara ini telah disepakati oleh imam Shafie dan Ahmad serta para pengikutnya, cuma mereka meletakkan beberapa syarat untuk menunaikanya, iaitu :
a. Bilangan tentera Islam itu lebih ramai.
b. Tentera musuh tidak mampu membuat serangan hendap ketika solat berlangsung.
c. Boleh dipecahkan kepada beberapa kumpulan jika bilangan tentera Islam melebihi daripada 6 orang.
Saf Solat Khauf
Imam perlu membahagikan anggota tentera kepada dua kumpulan,
Sekurang-kurangnya ada tiga orang dalam setiap kumpulan.
Dua kumpulan akan membuat saf di belakang imam, Setiap kumpulan tersebut boleh terdiri daripada beberapa shaf.
.
Cara Solat Khauf dalam situasi sebegini adalah seperti berikut:
1. Imam akan memulakan solat dengan mengadap ke arah Qiblat bersama dengan kedua-dua kumpulan.
2. Apabila tiba pada rukuk di rakaat yang pertama, hanya kumpulan pertama sahaja yang akan turut rukuk bersama imam.
3. Kumpulan yang kedua pula terus berdiri (dalam keadaan iktidal) bagi memantau keadaan sekeliling dan menjaga pertahanan, kalau-kalau ada gerakan baru atau serangan dari pihak musuh.
4. Setelah imam dan bahagian pertama bangkit untuk rakaat yang kedua, mereka pula terus berdiri (dalam keadaan iktidal) bagi memantau dan menjaga pertahanan keadaan sekeliling.
5. Kumpulan kedua pula akan turun menyempurnakan rakaat pertama secara bersendirian hinggalah mereka mendapatkan imam semula pada rakaat yang kedua.
6. Pada rakaat ini, imam akan rukuk diikuti dengan kumpulan yang kedua sahaja akan turut bersama–sama dengan imam, manakala kumpulan yang pertama tadi akan tetap berdiri (iktidal).
7. Apabila imam dan kumpulan yang kedua sampai ke tahiyyat akhir, barulah mereka akan menyempurnakan rakaat yang kedua secara bersendirian dan mendapatkan imam di tahiyyat akhir (yang mana imam hendaklah menunggu kumpulan pertama dengan memanjang doa).
8. Akhir sekali imam akan memberi salam bersama-sama dengan kedua-dua kumpulan tersebut.
2. Musuh Tidak Berada Di Arah Qiblat
Cara Solat Khauf dalam situasi ini pula disepakati oleh Imam Syafie , Imam Maliki dan Imam Hambali, ianya adalah seperti berikut:
1. Imam akan membahagikan tentera kepada dua kumpulan; kumpulan yang pertama akan solat bersamanya manakala kumpulan yang kedua akan kekal mengawasi keadaan.
2. Imam pada permulaannya akan solat bersama kumpulan yang pertama untuk rakaat yang pertama sekiranya solat dua rakaat atau solat qasar, dan dua rakaat pertama sekiranya solat genap (empat rakaat).
3. Sesudah itu imam akan bangkit untuk rakaat seterusnya dan berdiri bagi menunggu kedatangan kumpulan yang kedua.
4. Kumpulan pertama akan niat berpisah dengan imam (niat mufaraqah) dan menamatkan solat masing-masing secara bersendirian, kemudian bergerak manggantikan tempat kumpulan kedua yang tadinya mengawasi keadaan.
5, Kumpulan yang kedua pula akan memulakan solat bersama imam (yang mana imam sedang berada di rakaatnya) hinggalah sampai ke tahiyyat akhir (bagi imam).
6. Imam akan memanjangkan doa dalam tahiyyat akhir bagi menunggu kumpulan kedua menyempurnakan baki rakaat mereka masing-masing sehinggalah mereka juga sampai di tahiyyat akhir dan imam akan memberi salam bersama-sama dengan mereka.
7. Kumpulan pertama akan mendapat kelebihan (fadhilat) takbirratul-ihram bersama-sama dangan imam, manakala kumpulan kedua pula mendapat kelebihan memberi salam bersama-sama imam.
B. Ketika Hangat Berperang
Sekiranya peperangan tercetus dengan dahsyatnya, sedangkan waktu solat hampir ke penghujungnya manakala pihak musuh pula tidak menunjukkan tanda-tanda untuk menghentikan serangan dan keadaan juga seolah-olah tidak memberikan peluang untuk bersolat Khauf secara berjamaah.
Dalam keadaan demikian :
Dikecualikan dan dimaafkan untuk tidak menghadap Qiblat kerana darurat.
Di waktu ini dibolehkan untuk solat dengan isyarat kepala, tangan, jari atau hati sahaja.
Dibolehkan tidak melaksanakan rukun-rukun fi’li (perbuatan seperti rukuk, sujud dan tahyat).
Dibenarkan untuk bergerak lebih tiga kali berturut-turut seperti berjalan, berlari, memukul, menikam dan menembak.
Diharuskan juga memegang senjata walaupun terdapat najis padanya.
Dibolehkan bercakap, bertempik dan berteriak tanpa membatalkan solat jika ada keperluan yang mendesak.
Dimaafkan ada pendapat solat yang sedemikian wajib diqada’ dan ada pula pendapat laian mengatakan tidak perlu diqadha.
Firman Allah سبحانه وتعالى :
حَافِظُوا عَلَى الصَّلَوَاتِ وَالصَّلَاةِ الْوُسْطَىٰ وَقُومُوا لِلَّـهِ قَانِتِينَ ﴿٢٣٨﴾ فَإِنْ خِفْتُمْ فَرِجَالًا أَوْ رُكْبَانًا ۖ فَإِذَا أَمِنتُمْ فَاذْكُرُوا اللَّـهَ كَمَا عَلَّمَكُم مَّا لَمْ تَكُونُوا تَعْلَمُونَ ﴿٢٣٩
“Peliharalah kamu (kerjakanlah dengan tetap dan sempurna pada waktunya) segala solat fardu, khasnya solat Wusta (solat Asar), dan berdirilah kerana Allah (dalam solat kamu) dengan taat dan khusyuk. Dan jika kamu takuti (sesuatu bahaya) maka solatlah sambil berjalan atau berkenderaan, kemudian apabila kamu telah aman sentosa, maka hendaklah kamu mengingati Allah (dengan mengerjakan solat secara yang lebih sempurna), sebagaimana Allah telah mengajar kamu apa yang kamu tidak mengetahuinya.”
(Surah Al Baqarah 2; Ayat 238-239)
والله أعلم بالصواب
Wallahu A’lam Bish Shawab
(Hanya Allah Maha Mengetahui apa yang benar)
وَالسَّلاَمْ